Cuaca Panas Di Malaysia Dijangka Hingga Pertengahan September

Adakah anda perasan keadaan cuaca sejak akhir-akhir ini sangat panas, berbahang dan juga kering?

cuaca panas di malaysia dijangka hingga pertengahan september

Jika YA, anda tidak keseorangan kerana fenomena cuaca ini adalah disebabkan Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca menjadi panas dan kering, malah ia dijangka berlarutan hingga pertengahan September.

 

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), berdasarkan pemantauan gelombang haba sehingga 21 Julai, tiada kawasan di negara ini yang terdedah dengan gelombang haba.

 

Tambahnya lagi, tiada stesen meteorologi yang merekodkan suhu melebihi 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

 

Suhu 40.1 darjah Celsius adalah bacaan suhu tertinggi di Malaysia ketika fenomena El Nino melanda negara pada tahun 1998.

 

Berbeza pula kawasan di pantai barat dan pedalaman Semenanjung serta pantai barat Sabah dan wilayah tengah dan barat Sarawak yang dijangka berlaku hujan lebat, angin kencang dan kelembapan tinggi.

 

Menurut Pakar Klimatologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Fredolin Tangang berkata gelombang haba di Malaysia dikaitkan dengan kebolehubahan cuaca iaitu Madden-Julian Oscillation (MJO) dan El Nino.

 

"Madden-Julian Oscillation adalah fenomena biasa, yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20 ke 60 hari. Semasa Monsun Barat Daya, ia boleh meningkatkan suhu satu ke dua darjah hingga sekitar bawah 40 darjah Celsius bergantung kepada kawasan. Malah, kita sudah mengalaminya sekarang," katanya seperti dipetik dari Astro Awani.

 

Keadaan cuaca ketika ini katanya adalah satu kejadian biasa yang berulang dan menyederhanakan suhu basah-kering di negara ini. Ia juga berlaku setiap tahun dengan variasi tertentu.

 

Orang ramai bagaimanapun dinasihatkan untuk tidak berada dibawah panas terik dalam jangka masa yang lama dan sentiasa memastikan tubuh mendapat cukup air sepanjang tempoh ini.

 

Sumber: Astro AWANI