Aktres jelita, Rozita Che Wan atau lebih dikenali dengan panggilan Che Ta, meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan suami yang tidak cerewet dan mementingkan perkara berkaitan tuntutan agama.
Menurut pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar, sepanjang 10 tahun menjadi isteri kepada Zain Saidin, suaminya itu tidak pernah memintanya melakukan kerja rumah.
“Alhamdulillah syukur untuk 10 tahun yang membahagiakan walaupun saya kadang-kadang jadi singa.
“Untung dapat suami macam Zain. Paling tak cerewet, tak pernah suruh saya kemas rumah, basuh baju dan pinggan, saya keluar lepak balik pukul 4 pagi pun dia tak tanya.
“Cuma dia selalu ingatkan, sayang sudah solat? Dia akan tegur kalau aurat saya terdedah,” katanya dalam perkongsian di TikTok.
Dalam pada itu, Che Ta turut menasihatkan golongan wanita agar memilih pasangan yang bertanggungjawab dalam menunaikan tugas sebagai suami dengan baik.
“Tak perlu lelaki kaya untuk rumah tangga yang bahagia, janji tahu tanggungjawab masing-masing.
“Cari yang tahu agama dan praktikkannya bukan hanya tahu agama tapi jadi penunggang. Nauzubillah.
“Sebenarnya dalam apa juga keadaan membabitkan kehidupan ini, bersederhana itu adalah paling utama,” ujarnya lagi.
Sumber: Tiktok