Pemain tengah skuad bolasepak negara, Brendan Gan menjadi tumpuan ramai khususnya peminat bola sepak tempatan apabila mengetahui beliau disahkan menghidap kanser testis.
Menerusi ruang komen Instagram, rata-rata peminat memberikan kata positif dan tiupan semangat kepadanya, selain mendoakan agar Brendan terus positif menjalani fasa pemulihan.
Setahun yang lalu, Brendan mengesahkan menghidap kanser testis dan kini beliau berkongsi mengenai keadaan terkini dirinya. Menurut Brendan, beliau juga akan direhatkan untuk tempoh panjang pada Liga Malaysia musim ini.
“Hidup saya sentiasa positif walaupun ada ketika agak kecewa dengan kritikan negatif. Tetapi saya sering menjadikan perkara tersebut sebagai motivasi untuk kekuatan diri.
“Kini, saya berdepan ujian sekali lagi apabila disahkan menghidap kanser testis dan saya sudahpun melakukan pembedahan.
“Sekarang adalah fasa untuk saya menjalani proses pemulihan," katanya.
Bagaimanapun menurut Brendan, kanser tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk kembali beraksi di padang bola sepak.
“Apa yang pasti, saya sangat bertuah apabila dikelilingi individu yang sentiasa memberi sokongan terutama keluarga, rakan-rakan terdekat dan komuniti bola sepak tempatan.
“Kanser tidak akan mematahkan semangat saya sebaliknya akan lebih bermotivasi dan akan kembali ke padang bola sepak bersama pasukan Selangor secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, kelab Selangor FC juga meminta agar semua pihak mendoakan kesihatan dan memberi ruang kepada Brendan sepanjang tempoh pemulihannya.
Sumber: Astro AWANI / Instagram Brendan Gan