Hetty Koes Endang, merangkap juri tetap All Stars Gegar Vaganza (ASGV) mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan karakter yang dibawa bekas pengacara, Elly Mazlein atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom sepanjang mengemudikan program berkenaan.
Menurut bintang lagenda Indonesia berusia 66 tahun itu, meskipun Kak Lina Pom Pom tiada lagi di pentas ASGV, program itu perlu diteruskan seperti biasa.
“Baru malam tadi (Ahad) saya dengar Kak Lina (Elly) sudah tidak ada tetapi ‘show’ perlu diteruskan kerana bukan dia satu-satunya dalam program itu. Malah, kita juga tahu, ada peminat yang suka dan ada tidak suka.
“Bagi saya, apatah lagi GV kali ini lebih besar di mana disertai juara-juara. Saya hanya mendoakan semua sukses.
“Bagi Kak Lina, semoga beliau sukses di luar sana… Mungkin dia lebih nyaman (seronok) di luar,” katanya.
Dalam pada itu, Bonda Hetty juga mengaku selesa bergurau dengan semua pengacara termasuk Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
“Program di Malaysia dan Indonesia berbeza. Di Indonesia, kami tidak kisah ramai di atas pentas. Saya okay saja dengan mereka semua.
“Namun, kita masuk rumah orang, kita ikut sahaja. Nabil dan Jihan sudah lama di pentas itu, dia (Elly) boleh membawa versi dirinya tetapi perlu lihat keadaan.
“Jadi, bagi saya, Elly okay saja. Dia perlu kuat mental, jangan mudah kecil hati. Saya tahu dia manja. Jadi, kalau tak kuat, jangan baca komen, harus kuat dan sama-sama harungi. Ini semuanya perlu ‘teamwork’, tiada siapa yang tidak bagus.
“Jujurnya selama saya bersama GV saya tak pernah baca komen. Sebab saya tahu ada suka dan ada tidak suka. Saya tetap jadi diri saya,” katanya lagi.
Sumber: Media Hiburan