Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini membenarkan pesakit-pesakit di wad ditemani oleh penjaga serta menerima pelawat berdasarkan kriteria-kriteria tertentu mulai 23 April 2022.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung pelaksanaan polisi penjaga dan pelawat di hospital KKM berkuatkuasa esok.
.
"Tatacara pelaksanaan arahan tersebut adalah tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan hospital dan wad masing-masing.
“KKM ingin memaklumkan bahawa polisi dan garis panduan yang digunapakai dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan KKM semasa pandemik COVID-19 sentiasa disemak dan dikemaskini berdasarkan perkembangan terkini kejadian jangkitan.
“Berdasarkan analisa trend terkini kes COVID-19 kategori tiga hingga lima dan kadar penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19 yang rendah, KKM telah meneliti semula dan mengemaskini polisi lawatan untuk penjaga dan pelawat di hospital.
“Langkah ini diambil setelah mengambil kira kepentingan sokongan psikososial terutama daripada ahli keluarga pesakit dalam membantu proses penyembuhan pesakit,” katanya.
.
Antara kriteria yang ditetapkan adalah seperti:
- penjaga yang menemani pesakit perlu berusia 12 tahun ke atas.
- lengkap vaksinasi COVID-19
- tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan
- penjaga pesakit perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan ke hospital
- tidak disyaki menghidap COVID-19 atau individu dalam pemantauan (PUS)
- perlu mengisi borang deklarasi COVID-19
- patuh SOP dan memakai alat pelindung diri (PPE) yang ditetapkan.
.
Selain kriteria umum diatas, KKM turut menggariskan kriteria khusus bagi melawat pesakit bukan COVID-19 dan pesakit COVID-19.
.
Beliau berkata, penjaga pesakit bukan COVID-19 yang berada di wad dan individu yang ingin menemani ibu hamil semasa proses bersalin, perlu menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.
.
Kata beliau, lawatan ahli keluarga kepada pesakit bukan COVID-19 yang berada sama ada di wad, unit rawatan rapi (ICU) atau sedang tenat juga dibenarkan, terhad kepada dua pelawat pada satu-satu masa.
.
“Mereka juga digalakkan untuk menjalani ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri, sebelum melawat,” katanya.
Selain itu, tambah beliau, hanya dibenarkan seorang penjaga bagi pesakit bukan COVID-19 yang menerima rawatan pesakit luar atau jabatan kecemasan.
“Penjaga juga adalah digalakkan menjalani ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum hadir ke fasiliti kesihatan,” katanya.
Selain itu, KKM membenarkan penjaga untuk pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak sahaja.
"Bagi tujuan ini, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif. Ujian RTK-Ag kendiri perlu diulang sekiranya penjaga bergejala dan sebelum pulang ke rumah.
"Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat sama ada di wad atau di ICU. Hanya dua pelawat pada satu-satu masa dan ujian Covid-19 menggunakan RTK-Ag kendiri, digalakkan sebelum lawatan,” katanya.
.
Bagaimanapun pihak hospital mempunyai hak untuk melakukan pengubahsuaian kepada polisi sedia ada dalam mana-mana keadaan di mana risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlaku wabak di hospital.
.
Sumber: [1], [2]