Beberapa minggu lalu, tular di media sosial beberapa foto dan video yang memaparkan aksi pelakon, Aliff Aziz di sebuah kelab serta foto bersama seorang wanita di tengah jalan pada waktu malam.
Bagaimanapun ia telah disalah tafsir kerana foto dan video yang memaparkan kelibat Aliff Aziz itu adalah foto diset penggambaran sebuah drama.
Bagaimanapun masih ada blogger yang mengambil kesempatan menggunakan foto dan video pasangan ini yang telah disunting demi sebuah ‘content’ di media sosial mereka.
Perkara itu turut mendapat perhatian isterinya, Bella Astillah yang tampil meluahkan rasa kesal dan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab seperti itu.
Malah pelakon berusia 28 tahun ini mengakui gosip liar mengenai rumah tangga mereka turut memberi kesan kepada keluarga di Sabah dan Singapura.
“Saya faham ada segelintir pihak yang prihatin terhadap saya dan ambil tahu serta risau saya disakiti. Saya hargai semua yang mesej beri kata-kata semangat menerusi Direct Message (DM).
“Namun, saya kecewa apabila muncul perkara yang tidak benar dan disebarkan dalam Facebook dan semua itu dibaca oleh keluarga kami di Sabah serta Singapura.
“Ibu bapa Aliff di Singapura juga masih bekerja, jadi ramai bertanya dan mempersoalkan pada mereka mengapa Aliff buat begitu pada saya.
“Saya tidak marah tapi harap menjadi iktibar buat semua. Saya kasihan pada keluarga kerana ramai bertanya pada mereka sedangkan cerita itu tak benar,” katanya.
Ujar Bella, adalah lebih baik jika orang ramai mengeluarkan komen positif dan mendoakan yang baik-baik buat mereka sekeluarga.
“Bila ada orang cakap benda tak baik tentang Aliff, saya takut semua itu menjadi satu doa. Saya sangat berharap tiada percakapan yang tidak baik diberikan terhadapnya.
“Aliff sedang berubah menjadi insan yang lebih baik begitu juga saya. Sebaik-baiknya berilah dia semangat,” kata Bella lagi.
Sumber: Kosmo!