Ekoran daripada insiden pelajar yang ditampar oleh jurulatih pasukan bola tampar baru-baru ini, bapa kepada salah seorang pelajar itu tampil memberitahu beliau dan keluarga berharap agar jurulatih itu tidak dikenakan tindakan.
Menurut bapa kepada Nur’Saidatul Akma Abd Halim, iaitu Abd. Halim Bakar, 50, beliau dan keluarganya sudah mengenali jurulatih itu lima tahun lalu dan percaya tindakan jurulatih tersebut adalah dengan niat menaikkan semangat anaknya untuk terus berjuang hingga peringkat akhir perlawanan.
Menurut Abd. Halim, anaknya turut meminta agar jurulatih yang dikenali sebagai Cikgu Hadee itu agar dikekalkan kerana beliau lebih kenal dengan kemampuan dirinya, malah Cikgu Hadee juga telah bekorban masa, wang dan tenaga untuk melatih pasukan berkenaan.
“Kami kenal Cikgu Hadee (Saiful Hadee) lebih lima tahun, anak saya Nur’ Saidatul dan kakaknya, Nur’ Syaafiah, 16, kedua-dua mereka ini dilatih bermain bola tampar sejak darjah lima lagi.
“Dari tidak tahu bermain sampailah mereka berjaya ke peringkat negeri, malah Cikgu Hadee inilah yang bersungguh-sungguh mencari tempat latihan sampai ke tanah (berwarna) merah dia bawa asalkan anak-anak murid dapat berlatih,” katanya.
Menurut Abd Halim lagi, anaknya juga tidak menganggap tindakan jurulatih itu sebagai satu bentuk kekasaran hingga boleh memberi kesan kepada emosi atau psikologi pemain.
“Anak kata dia (Hadee) tampar tidak kuat pun, tidak sakit atau membuatkan emosinya terganggu, itu cara seorang jurulatih yang tegas memberikan semangat dan disebabkan itu juga pasukannya berjaya mara ke peringkat separuh akhir di Selangor.
“Bagi saya, ini perkara biasa, kalau tampar sehingga cedera parah sudah tentu saya ambil tindakan sewajarnya tetapi bukan itu yang berlaku dan saya harap netizen dapat hentikan kecaman terhadap Cikgu Hadee,” katanya.
Sumber: Kosmo!