Nama Baby Shima adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air.
Namanya juga sering menjadi sebutan dek kerana beberapa isu seperti pakaian seksi, tarian menggoda dan mengambil foto bersama anjing sehingga mengundang kecaman ramai khususnya warganet.
Bagaimanapun menurut pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli, beliau tidak mahu ambil pusing sikap segelintir warganet yang seolah-olah sentiasa menjadikan dirinya sebagai sasaran kecaman.
Kata Baby Shima, beliau tidak tahu mengapa setiap apa yang dilakukannya, tidak kira baik atau buruk tetap akan menerima kecaman bertalu-talu.
“Mulut orang memang tidak boleh nak tutup. Buatlah apa sahaja, sekalipun kalau saya manja dengan kucing, tetap kena kecam. Bukan saya seorang sahaja kena begitu.
“Neelofa yang bertutup litup pun tetap kena kecam. Zaman sekarang kecaman itu sudah biasa. Tidak kisahlah mahu cakap apa, saya buat tidak tahu sahaja,” kata penyanyi itu.
Menurut Baby Shima, apa yang ditonjolkannya di media sosial adalah dirinya yang sebenar, meskipun ia tidak menyenangkan beberapa pihak.
“Saya cuma jadi diri sendiri. Saya menari dan menyanyi seperti biasa. Kalau menghiburkan orang juga satu kesalahan dan terus dikecam, saya tidak boleh ambil kisah.
“Saya buat apa yang menyenangkan saya dan peminat setia. Itu sudah cukup,” ujarnya.
Sumber: Utusan