Pernah digelar sebagai ‘bapa cool’, pelakon, Azhar Sulaiman enggan memberi sebarang perkongsian mengenai cara beliau mendidik anak-anaknya.
Menurut pelakon berusia 51 tahun ini, cara beliau mendidik anak-anaknya tidak sesuai untuk dikongsikan kepada umum dan setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mengajar.
"Cara saya hanya untuk saya dan keluarga. Apa yang dipraktikkan bukan untuk dikongsikan dengan orang lain secara rasmi. Ia akan menjadi sesuatu yang menyimpang dari agama dan contoh tidak baik untuk keluarga lain ikuti. Tepuk dada tanya selera sendiri.
"Saya perlu bertanggungjawab jugalah untuk orang lain. Maaf kepada semua wartawan," katanya.
Beliau juga terpaksa menolak semua jemputan temubual mengenai gelaran ‘Bapa Cool’ bersama wartawan, sambil mengucapkan terima kasih kepada media.
Sebelum ini, anak perempuannya, Kasih Leia Ixora pernah mengadakan parti di rumah, hinggakan video parti itu mendapat perhatian netizen yang turut menggelarnya sebagai ‘bapa cool’.
Terdahulu, Azhar Sulaiman berkahwin dengan Chempaka Emalin Pahamin pada 1996, dan telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora, 23, serta pasangan kembar, Andika Rees Pahamin dan Kasih Iris Leona yang kini berusia 20 tahun.
Sumber: HMetro