Selebriti popular, Ayda Jebat mengaku dirinya seronok sebumbung bersama mentua.
Ayda, 30, berkongsi sepanjang perkahwinannya bersama suami, Nabil Mahir, dia sentiasa diberikan layan baik serta tidak dibenarkan untuk membuat kerja rumah.
“Tinggal dengan mentua, bagi saya tak ada pro dan kontra. Tak tahu pula orang lain. Tapi saya sangat suka. Mungkin sebab Nabil dia memang dulu kata ‘tolonglah jangan dapat isteri macam ibunya’, sekali dapat saya.
“Saya memang sekepala dengan mak dia, perangai kami sama, tak masak. Mak mentua jenis tak kisah, kalau saya di dapur dia akan cakap, ‘buat apa di dapur ni’. Kalau nak kemas-kemas, dia cakap tak perlu, sebab pembantu pun ada. Mungkin orang lain pengalaman berbeza.
“Lagi pula, sebelum kahwin pun, Nabil cakap dia jenis ‘family person’. Saya suka dan okay saja. Saya punya keluarga bukan begitu, sebab habis belajar kan saya sudah duduk sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelantun lagu “Parah” itu turut menambah dia bersyukur atas rezeki yang mencurah-curah selepas kehadiran cahaya mata pertama mereka.
“Alhamdulillah, biarpun dah lama tak berlakon, saya sangat bersyukur, selepas bersalin rezeki semakin mencurah. Benarlah orang katakan anak pembawa rezeki.
“Saya menjadi duta kepada beberapa jenama. Ada juga jenama yang dah lama dengan saya dan mereka memperbaharui kontrak kerana mereka senang bekerjasama dengan saya,” katanya.
Katanya lagi, dia tidak menolak kemungkinan untuk menimang cahaya mata kedua pada bila-bila masa.
“Saya bersedia saja bila-bila masa nak tambah anak. Kalau boleh nak sekarang. Bukan apa, saya dah lama tidak 'shoot'. Dengan Ana Nayla pun dah hampir dua tahun berehat kerana mahu melihat dia membesar dulu.
“Jadi, kalau nak tunggu anak kedua selepas kembali bekerja akan susah sikit sebab saya memang takkan 'shoot' kalau sedang hamil. Namun, disebabkan saya bersalin secara pembedahan, jadi kena ambil masa sikit kalau nak mengandung lagi,” ujarnya.
Sumber: HMetro