Ara Johari Akui Tak Boleh Terkena Air Hujan, Mudah Jatuh Sakit

Penyanyi, Ara Johari akui dirinya tidak boleh terkena air hujan kerana akan mudah jatuh sakit, lalu menyebabkan tekaknya mengalami masalah untuk menyanyi.

ara johari akui tak boleh terkena air hujan, mudah jatuh sakit

Menurut pemilik nama sebenar Nurfarrah Izatie Johari, 27, beliau berkata sebelum ini tidak mempunyai masalah seperti itu, namun tahap kesihatannya kini nyata berbeza.

 

“Sekarang saya sangat mudah hilang suara jika terkena hujan. Kalau kena hujan, saya mesti terus mandi. Kalau tidak akan dapat selesema dan seterusnya sakit tekak.

“Banyak sangat pantang sekarang. Bila batuk, saya tidak boleh menyanyi selama berminggu-minggu. Berbeza dengan dahulu. Saya tidak ada masalah dengan hujan. Malah saya lagi suka membuat persembahan ketika hujan kerana berasa lebih puas,” kata beliau.

 

Disebabkan itu, Ara berkata beliau kini akan lebih berhati-hati dengan cuba elak daripada terkena hujan.

ara johari akui tak boleh terkena air hujan, mudah jatuh sakit

“Rasa kurang motivasi juga, sebab dari kecil saya sudah terbiasa mandi hujan. Biasalah, saya budak kampung. Tapi sekarang saya memang terasa bila mudah jatuh sakit selepas kena hujan.

“Jika terkena hujan, saya harus cepat-cepat mandi dan berehat. Sekiranya dibiarkan, saya akan selesema dan hilang suara,” kata beliau.

 

Bagaimanapun Ara berkata, setakat ini beliau tidak pernah membatalkan mana-mana persembahan meskipun sedang sakit.

 

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah lagi batalkan mana-mana persembahan walaupun sakit.

“Rezeki saya juga, apabila tiap kali sakit tekak, saya masih mampu menyanyi nada tinggi dan beri persembahan terbaik meskipun dalam keadaan suara saya yang kedengaran sedikit kasar.

“Selain mengelak hujan, doktor turut menasihati saya untuk tidak makan makanan pedas dan minuman berais,” ujar beliau.

 

Sumber: Kosmo!