Nama penyanyi, Fyna Jebat sekali lagi menjadi sebutan ramai selepas dikatakan sudah bercerai dengan suaminya yang juga bekas jurulatih bola sepak terkenal, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Menerusi satu komen yang dibuat oleh anak perempuan Zainal iaitu Zahira Aisyah dalam komen di media sosial, beliau berkata bapanya sudah menceraikan Fyna.
“Kenapa perlu kongsi semula cerita bulan April yang lalu?
“Ibu saya juga tidak berdamai dengan sesiapa dan cerita ini tidak benar.
“Untuk pengetahuan awak, ayah saya sudah bercerai dengan Fyna. Mohon padam hantaran ini, terima kasih,” katanya dalam ruangan komen.
Hantaran yang dibuat portal hiburan Boom! Malaysia itu telah berkongsi semula kisah Fyna dan madunya yang juga isteri pertama Zainal sudah berdamai.
Sementara itu, Zahira menerusi satu hantaran Facebook bertarikh 5 Mei lalu memberitahu bapanya sudah membuat keputusan yang tepat demi kebahagiaan keluarga.
“Semua yang telah berlaku merupakan sebuah ujian daripada Allah SWT. Semoga kisah buruk ini dijadikan iktibar dan pengajaran serta berharap agar semua ini dapat mengeratkan lagi kasih sayang antara kami sekeluarga.
“Semoga kita dijauhkan daripada perkara-perkara yang boleh memecah-belahkan keluarga,” ujarnya.
Bagaimanapun tidak dapat disahkan status hubungan antara Fyna dan Zainal kerana kedua-duanya masih belum memberi sebarang kenyataan.
Terdahulu, Fyna mengesahkan sudah bergelar isteri kepada bekas jurulatih bola sepak Pahang FC itu pada 9 Januari lalu, namun tidak mendedahkan butiran sebenar bila mereka melangsungkan pernikahan. Zainal Abidin sebelumnya telah mendirikan rumah tangga dengan Zalina pada 1980 dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Sumber: Kosmo!