Pelakon Anna Jobling mengaku dirinya bersimpati terhadap Meerqeen yang dikecam teruk netizen selepas aksinya mencium pelawak Indonesia, Kiky Saputri.
Menurut Anna yang berada di lokasi kejadian, insiden itu berlaku ketika mereka menghadiri program hiburan di Indonesia baru-baru ini.
Namun, dia tak perasan pula bila insiden terbabit berlaku dan hanya mengetahuinya selepas pelawak itu memuat naik video tersebut di media sosial.
“Saya memang berada di sana ketika itu, tapi saya tidak nampak apa yang mereka lakukan sebab keadaan di sana terlalu ramai.
“Walau bagaimanapun saya simpati dengan Meerqeen sebab dia bukan berniat tidak baik, cuma benda itu nak berlaku dan bukan sesuatu yang buruk. Malah kami mencipta banyak memori manis di sana.
“Kadangkala kita tak tahu apa yang bakal berlaku. Ditambah pula dengan perasaan teruja sepanjang berada di Indonesia,” katanya ketika ditemu ramah satu portal akhbar tempatan.
Tambah pelakon berusia 22 tahun itu, sukar untuk mereka mengawal ketika dikerumuni peminat justeru dia sentiasa mengingatkan diri untuk mengambil langkah berhati-hati untuk mengelak daripada kecaman.
“Ketika berada di Indonesia kebanyakan peminat wanita meminta izin untuk memeluk Meerqeen. Bagi saya itu adalah perkara yang patut dilakukan bagi menghormati dan menjaga batas.
“Namun kadangkala perkara itu terjadi di luar kawalan kerana berlaku dengan cepat dan tak sempat nak berfikir panjang. Ibaratnya tak sempat nak bernafas dan kemudian baru tersedar.
“Tapi saya akan sentiasa mengingatkan diri agar berhati-hati apabila membabitkan soal pergaulan ini sebab tidak mahu menerima kecaman teruk.
“Cuma saya mungkin beruntung sebab majoriti peminat adalah dalam kalangan wanita dan tidak menjadi satu masalah besar,” ujar Anna.
Sumber: HMetro