Pelakon popular, Amelia Henderson menepis dakwaan orang ramai yang beranggapan dia mewarnakan rambutnya menjadi merah kerana ingin ‘mengubat diri’ daripada luka putus cinta.
Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 26, berkata dia memutuskan untuk mewarnakan rambutnya merah selepas melihat dirinya kelihatan menarik dalam filter media sosial yang mengubah rambutnya itu menjadi warna tersebut.
“Ramai yang tanya mengapa saya mewarnakan rambut menjadi merah. Ada banyak artikel diterbitkan memberi jawapan merepek.
“Jawapan sebenar untuk tindakan saya ini ialah kerana perasaan ingin mencuba selepas melihat rambut kelihatan menarik apabila mengenakan filter dalam media sosial,” jelasnya.
Jelas pelakon Cik Ayu Mee Sanggul itu lagi, keputusan untuk mewarnakan rambutnya juga diambil kerana dia kini tidak terikat dengan sebarang projek lakonan dalam tempoh terdekat.
“Saya cuma nak mencuba memandangkan sekarang ini tidak menjalani sebarang penggambaran drama.
“Jadi, inilah peluang untuk saya warnakan rambut merah yang agak gila sedikit. Selain itu, saya juga tak pernah warnakan rambut begini selain dengan tona coklat dan highlight.
“Inilah jawapan sebenar untuk sesiapa yang keliru dan fikir ada sebab mendalam. Konklusinya, saya tukar warna rambut kerana filter bukan sebab alasan merepek lain yang tiada kena mengena,” katanya.
Terdahulu, nama Amelia dan pelakon lelaki, Aedy Ashraf menjadi bualan hangat selepas pasangan tersebut didakwa putus cinta.
Sumber: Kosmo