Pelakon dan pengacara Amelia Henderson akui lebih gemar makan daripada memasak di dapur.
Katanya, dia merasakan memasak itu memerlukan masa yang lama untuk menyediakan sesuatu makanan.
“Saya kurang gemar memasak, kalau masak pun benda yang ‘simple’ seperti goreng nugget.
“Nugget pun goreng menggunakan Air Fryer, mudah, cepat dan kurang minyak.
“Saya tak tahu minat memasak itu akan ada dalam diri saya, tetapi setakat ini saya lebih ke arah makan sahaja,” katanya ditemui dalam Majlis Sidang
Media Star VS Cook musim kedua di Petaling Jaya.
Tambah Amelia, dia juga impikan seorang suami yang pandai memasak kerana akan memudahkan lagi urusan rumahtangga.
“Sebaiknya saya memerlukan suami yang pandai memasak, kerana tugas tersebut bukan terletak di bahu saya.
“Saya seorang wanita bekerjaya, yang banyak habiskan masa untuk berkerja, jadi waktu rehat, saya nak berehat sepenuhnya, seperti baring sepanjang masa,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, selain Amelia terdapat selebriti yang lain turut muncul dalam program Star VS Cook musim kedua.
Mereka ialah Ning Baizura, Nabil Ahmad, Diana Danielle dan Altimet.
Ia bersiaran mula bersiaran 19 Februari 2023 lalu, setiap Ahad jam 9 malam di saluran Primetime 704.
Oleh: Syahdeen