Pelakon, Amelia Henderson telah berkongsi hasratnya untuk menyertai pertandingan ratu cantik Miss Universe tahun ini.
Menerusi ciapan di Twitter, Amelia berkata idea ‘gila’ untuk menyertai pertandingan itu terbit secara spontan dan menjadi impiannya sejak sekian lama.
“Ok korang, saya ada idea ‘gila’, tapi tahun ini mungkin peluang tahun terakhir saya. Patutkah saya sertai Miss Universe Malaysia?
“Ia sebenarnya menjadi sebahagian daripada impian saya selama ini,” tulis Amelia.
Tweet itu mendapat pelbagai respon daripada warganet yang rata-ratanya memberi sokongan terhadap hasrat Amelia.
Dalam pada itu, Amelia turut meluahkan rasa lega kerana segmen berbikini dalam pertandingan itu sudah tidak diwajibkan dan dia tidak akan berbikini atas pentas.
“Saya bukan seorang yang selesa memperagakan bikini atas pentas. Saya tak rasa saya sanggup lakukan itu sampai bila-bila. Tapi sekarang, pengurusan mereka pun sudah bertukar tangan,” katanya.
Terdahulu, organisasi Miss Universe Malaysia di bawah pengurusan baharu kini bukan sekadar membuka penyertaan kepada wanita bujang sebaliknya wanita sudah berkahwin, bercerai, malah golongan ibu turut dialu-alukan. Namun, peserta perlu berusia 18 hingga 27 tahun ketika pertandingan.
Sumber: Twitter / HMetro