Pelakon, Alya Iman, 22, berharap agar orang ramai dapat menerima perubahan dirinya selepas mengambil keputusan untuk tampil tidak bertudung sejak April lalu.
Alya yang juga anak kepada pelakon popular era 80-an, mengakui membaca komen-komen di media sosial termasuk yang mengecam dirinya kerana berpakaian seksi.
"Saya terima dan tahu impak berpakaian begini (seksi) akan dikecam ramai. Tapi, inilah penampilan diri saya yang sebenar. Saya sukakannya dan berharap orang ramai dapat terima perubahan ini dengan hati terbuka," katanya.
Pemilik nama sebenar Nur Alya Iman Azmil berkata, beliau menerima apa sahaja yang diperkatakan terhadap dirinya.
"Sebenarnya ramai cakap pada saya jangan baca komen (netizen), tapi itulah yang saya buat juga. Kadang-kadang memang terkesan, tapi bila dah lama-lama jadi lali," katanya lagi.
Pelakon ini mula dikenali sebagai seorang yang bertudung, tambah pula Allahyarham bapanya adalah seorang pelakon yang cukup disegani serta dikenali.
Bagaimanapun, Alya mula membuat penampilan dengan tidak lagi bertudung kerana enggan bersikap hipokrit dan mahu tampil dengan imejnya yang sebenar.
Sumber: HMetro