Pelakon, Alif Satar adalah satu nama yang cukup dikenali di negara ini.
Selain berlakon, Alif juga aktif dalam pelbagai aktiviti sukan seperti berbasikal dan juga marathon.
Baru-baru ini, Alif Satar berkongsi momen hiba apabila menerima hadiah dan surat yang telah ditulis oleh anak-anaknya.
Dalam surat tersebut, kedua-dua anak perempuan Alif menyifatkan mereka bertuah kerana dikurniakan bapa sepertinya.
Malah, kedua anaknya itu berharap agar pemberian tersebut dapat mengingatkannya terhadap orang-orang yang disayanginya.
“Dear daddy, ini adalah hadiah daripada Alisha dan Ariana. Kami harap pemberian ini akan sentiasa mengingatkan daddy ketika saat orang-orang yang daddy sayangi masih hidup.
“Tapi kami tahu daddy akan tetap berjumpa dengan mereka semua di syurga kelak. Kami nak daddy tahu yang daddy merupakan bapa terbaik seseorang itu boleh memiliki. Sayang daripada Alisha Anugerah dan Ariana Mecca,” tulis anak perempuan Alif.
Alif dalam pada itu menzahirkan rasa sedih saat menerima kejutan dan selepas membaca surat tersebut.
“Ini yang mereka tulis. Berenang empat kilometer dekat laut aku gagah lagi tapi ni barang boleh buat nangis empat lautan bro. Bersyukur sangat,” tulisnya Alif di ruangan kapsyen.
Rata-rata warganet turut tersentuh dengan kiriman surat tersebut dan mendoakan agar Alif dan keluarga kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
Terdahulu, Alif dan isteri, Shadila Hakif telah mendirikan rumah tangga pada 15 September 2014 dan kini dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Sumber: Instagram Alif Aziz