Penyanyi, Aina Abdul menitipkan pesanan dan semangat buat ahli kumpulan The Gadys, selepas insiden yang menunjukkan kumpulan itu gagal melakukan persembahan dengan baik pada satu majlis yang diadakan baru-baru ini.
Menurut pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 30, The Gadys patut menjadikan kecaman yang diterima itu sebagai batu loncatan untuk menjual bakat agar lebih dikenali umum.
“Ini adalah masa tepat untuk ‘balas dendam’ yang bermaksud anda hentam saya, saya pergi ke kelas vokal. Banyak cara yang boleh kita ‘counter back’ (balas balik).
“Saya percaya ini juga publisiti yang baik untuk mereka, kadang-kadang sebab benda kecil ini buat orang kenal kita.
“Saya harap tip ini dapat bagi semangat serta jangan rasa sedih sebab sekurang-kurangnya mereka berani menyanyi di atas pentas. Tukang hentam belum tahu lagi menyanyi macam mana,” katanya.
Tambah Aina, beliau melihat kepada video yang tular itu dan katanya tiada masalah untuk kumpulan yang dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan ini untuk terus belajar memperbaiki kelemahan dengan memasuki kelas vokal.
“Saya rasa tiada masalah ketara bila tengok video tersebut sehingga nampak mereka tak boleh menyanyi tetapi kena gilap lagi dan kena kuatkan perut.
“Jadi, masuk kelas vokal dan gilap bakat, kuatkan perut anda, insya-Allah boleh. Saya doakan yang baik-baik dan sikit sahaja lagi kena gilap,” kata Aina.
Dalam masa sama, Aina berharap TheGadys dapat menerima teguran dan komen jujur daripada orang ramai dengan hati terbuka supaya dapat berubah ke arah lebih baik.
“Kadang-kadang dalam industri perlukan mereka yang jujur dengan kita. Macam saya, habis sahaja persembahan atau ketika berlatih saya akan tanya pasukan saya sama ada okey atau tidak.
“Kita sebagai orang seni ingatkan apa yang kita buat ini betul, terlalu seronok sehingga lupa nyanyian kita ke mana-mana hala.
“Jadi penting untuk kita ada pasukan yang akan bercakap jujur walaupun pahit supaya kita tak syok sendiri,” katanya.
Sumber: HIB Glam