Penyanyi, Aina Abdul akui berasa malu dengan permintaan segelintir individu yang mahukan dirinya mengambil takhta sebagai penyanyi nombor 1 negara.
Menurut pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, perjalanannya dalam industri seni masih lagi jauh, dan tidak pernah juga terlintas untuk dirinya mahu bersaing dengan mana-mana penyanyi, apatah lagi dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Bila saya baca kenyataan tersebut, saya sendiri jadi malu. Jadi saya faham kenapa orang marah. Sebagai tuan badan, saya pun tidak bersetuju dibandingkan dengan figura hebat sepertinya.
“Perbandingan ini tidak sepatutnya berlaku, mereka perlu sedar penghibur yang mereka bandingkan itu adalah idola saya. Saya harap kejadian sebegini segera berakhir,” katanya.
Tambah Aina lagi, Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah penyanyi yang selayaknya dinobatkan sebagai Penyanyi No. 1 Negara atas jasa dan pengorbanan beliau dalam industri seni dan negara yang tiada tolok bandingan.
“Saya ada baca komen netizen yang inginkan saya berada di kedudukan nombor satu, namun saya tak pernah terlintas nak letakkan diri dalam mana-mana nombor atau posisi.
“Siti adalah salah seorang idola saya. Jadi, saya berterima kasih kepada Siti dan penyanyi lain yang sentiasa menyuntik inspirasi saya.
“Anak seni baharu seperti saya perjalanannya masih terlalu jauh, banyak lagi yang saya perlu pelajari,” kata Aina lagi.
Terdahulu, heboh dakwaan segelintir individu yang mendakwa sebagai peminat Aina, yang mahukan gelaran Penyanyi Nombor 1 Negara diberikan kepada beliau kerana Datuk Seri Siti Nurhaliza sudah tidak lagi relevan buat masa kini.
Kenyataan itu nyata mengundang kemarahan ramai pihak sehingga ada yang membandingkan kedua penyanyi itu.
Ekoran itu, Kelab Peminat Aina Abdul, Ainations @Aina Abdul Official FC membuat laporan polis berhubung perkara itu kerana mewujudkan impak negatif melalui komen yang berbentuk penghinaan.
Sumber: Kosmo!