Aina Abdul Pernah Dibayar RM50 Nyanyi 20 Lagu Satu Malam

Penyanyi, Aina Abdul mendedahkan beliau pernah menerima bayaran hanya RM50 selepas menyanyikan 20 buah lagu untuk persembahan satu malam.

aina abdul pernah dibayar rm50 nyanyi 20 lagu satu malam

Katanya, meskipun jumlah yang diterima itu sedikit dan terpaksa berkongsi dengan lima ahli band lain, beliau akur dan terpaksa mengharungi jalan sukar itu sebelum menikmati populariti masa kini.

 

Ujar Aina lagi, beliau pernah mengadakan persembahan selama tiga malam berturut-turut tanpa ada penonton dihadapan. Malah, ada ketika beliau mengadakan persembahan hanya di hadapan dua atau tiga penonton sahaja.

 

“Ada masa dapat RM50 sahaja. Kadang-kadang, bayaran pun tak ada. Kena bahagi lagi dengan ahli band. Itu memang pengorbanan dan pengalaman yang saya tidak akan lupa.

“Tetapi, saya pegang satu prinsip dari zaman menyanyi di kelab. Walaupun tidak ada orang, bayaran tidak untung, saya kena teruskan juga,” ujarnya.

aina abdul pernah dibayar rm50 nyanyi 20 lagu satu malam

Tambahnya lagi, meskipun sering menerima kecaman dan kritikan daripada segelintir warganet, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan mencipta imej sebaik mungkin.

 

“Ramai tidak tahu saya pernah menyanyikan lagu tema filem Tombiruo: Penunggu Rimba. Ketika itu, saya tidak begitu dikenali. Jadi, apabila Sumpah berjaya menembusi carta radio dan diterima ramai, saya tidak boleh berundur.

“Saya kena all out. Saya bermula pada usia 28 tahun dan orang anggap lambat. Bila dapat peluang, saya tidak akan sia-siakan.

“Disebabkan itu, saya tidak kisah orang kata fesyen pelik atau dikritik melampau, semuanya saya telan sahaja. Itu bayaran untuk mimpi saya,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia