Penyanyi, Aina Abdul sering mencuri perhatian ramai bukan hanya melalui alunan suara merdu beliau, malah penampilan dan fesyen yang ditonjolkannya ketika berada di atas pentas.
Menurut pemilik nama sebenar Nurul Aina binti Abdul Ghani, beliau bukanlah mangsa fesyen seperti yang didakwa netizen, sebaliknya itu adalah imej yang sengaja ditonjolkan beliau bagi memberikan kelainan dalam penampilannya.
Aina mengulas kritikan yang diberikan netizen terhadap pakaian yang dipakainya ketika menjadi juri program realiti Big Stage musim kelima baru-baru.
Malah Aina turut akui terkejut apabila membaca maklum balas daripada netizen mengenai imej dan penampilannya itu.
"Saya tampil dengan imej itu kerana mengikut tema galau pada minggu keempat program Big Stage dan ada mesej yang mahu disampaikan kepada penonton.
"Imej katil atau tilam itu sesuai untuk meluahkan perasaan galau itu. Saya fikir imej itu akan mendapat komen yang menghiburkan kerana pernah pakai baju yang lebih besar dari itu," katanya.
Tambah Aina lagi, beliau turut menerima komen yang melampau daripada netizen membabitkan imej dan penampilannya, hingga ada yang mahu memboikot beliau.
"Selain 'face shaming', ada netizen yang mahu boikot saya kerana imej dan penampilan berbeza yang ditampilkan. Sedangkan, selain imej dan penampilan, saya juga sudah habiskan ribuan ringgit untuk menjaga wajah dan tubuh sebagai selebriti," katanya.
Terdahulu, penampilan Aina sebagai juri tetap Big Stage musim kelima dikritik netizen hingga ada yang menyamakan beliau seperti katil dan marshmallow.
Sumber: HMetro