Kumpulan wanita, DOLLA sering menghiburkan peminat dengan lagu-lagu dan persembahan yang memukau.
Meskipun suatu ketika DOLLA pernah dikritik kerana dikatakan cuba meniru kumpulan wanita K-pop, namun kini nama DOLLA sudah cukup dikenali ramai, bukan sahaja dalam negara malah peringkat antarabangsa.
Dianggotai oleh empat gadis yang lincah dipentas, Tabby, Sabronzo, Angel dan Syasya, siapa sangka peminat DOLLA ada yang datang daripada luar negara seperti Brazil dan Amerika Syarikat.
Disebabkan lagu-lagu DOLLA adalah dalam bahasa Melayu, ada peminat antarabangsa yang sanggup mempelajari bahasa Melayu demi memahami maksud lirik.
"Ada peminat dari luar negara antaranya Brazil dan ada juga yang menetap di Amerika Syarikat. Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang tak faham Bahasa Melayu, tetapi sukakan lagu kami dalam Bahasa Melayu," kata Sabronzo.
Terdahulu, DOLLA tampil dengan single terbaharu berjudul Damelo yang menampilkan Hard Lights.
Damelo adalah buah tangan pertama DOLLA yang menggabungkan tiga bahasa dalam liriknya iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Sepanyol.
Sumber: HMetro