Pelakon lelaki dan juga hero dalam banyak filem serta drama tempatan, Faizal Hussein akui meskipun usianya kini mencecah 55 tahun, masih ada wanita yang cuba menggoda untuk mendapatkan perhatiannya.
Bagaimanapun ujar pelakon itu, beliau sentiasa meletakkan batasan setiap kali berada di mana-mana set penggambaran.
Itu adalah pendiriannya sejak awal penglibatan dalam dunia lakonan kerana enggan terpalit dengan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan kariernya.
“Nak kata saya sudah tua, sampai hari ini pun masih ada orang cuba try (goda) lagi. Saya sudah letakkan batasan sesiapa yang saya jumpa (wanita), mesti panggil ‘adik’.
“Maknanya, orang lain perlu faham status saya dan sampai hari ini, tidak pernah timbul isu bercinta di set penggambaran. Saya hanya bercakap dengan pelakon lain sebelum penggambaran sesuatu babak atau ketika waktu makan selepas kerja selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut mengulas lanjut mengenai pelakon berstatus suami yang terpalit dengan skandal bercinta dengan pelakon wanita ketika di set penggambaran.
Tegasnya, jika pelakon itu sudah tahu status dirinya adalah suami, mengapa perlu hendak melayan wanita lain.
“Kalau sudah tahu suami orang, kenapa nak melayan? Saya ambil nasi sendiri di set penggambaran dan lebih banyak duduk dalam kereta sebelum sesuatu babak dijayakan.
“Kita tidak akan bertahan lama kalau terlampau banyak kontroversi, tidak kira baik atau buruk kerana ia tetap kontroversi,” kata Faizal yang sehingga kini sudah membintangi lebih 50 drama dan filem tempatan.
Sumber: Utusan
Foto: Kosmo!