10 Tahun Derita Saraf Tulang Belakang, Aaron Aziz Terus Bekerja Demi Tampung Pengajian Anak

Selebriti terkemuka, Datuk Aaron Aziz tidak kisah bersakit demi terus bekerja untuk menampung kos pengajian anak-anak di menara gading.

10 tahun derita saraf tulang belakang, aaron aziz terus bekerja demi tampung pengajian anak

“Tak kisahlah saya sakit, asalkan dapat berlakon untuk bayar yuran pengajian anak-anak,” katanya.

Pelakon filem KL Gangster itu telah menanggung derita akibat masalah saraf tulang belakang sejak 10 tahun lagi, menyebabkannya terpaksa bertahan dengan suntikan steroid selain ubat tahan sakit sewaktu bekerja.

“Kos pembedahan memang besar. Ubat sahaja memakan belanja dua hingga tiga ribu. Tapi nasib baik saya ada insurans.

“Itu salah satu faktor yang saya perlu fikir. Anak-anak pun masih lagi belajar. Anak perempuan saya, Dahlia Arissa baru memasuki kolej. Anak lelaki saya pula, Danish Anaqi sekarang belajar di sebuah kolej di Jepun.

“Mereka akan masuk ke universiti yang memerlukan perbelanjaan besar. Jadi, tak apalah saya sakit. Saya masih berlakon sebab nak kejar bayar semua yuran anak-anak,” ujarnya.

Tambah pelakon berusia 46 tahun itu, dia sering berpesan pada anak-anak supaya tidak risau mengenai soal wang ringgit dan hanya fokus terhadap pengajian masing-masing.

“Isteri saya juga selalu ingatkan anak-anak tentang pengorbanan, bekerja keras untuk cari duit demi anak-anak. Insya-Allah saya boleh tanggung pembelajaran mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aaron juga berkongsi dia dijadualkan untuk melakukan pembedahan pada penghujung tahun ini selepas pulang daripada mengerjakan umrah di tanah suci.

“Sekitar bulan 10 nanti saya terlibat dengan penggambaran sebuah filem. Insya-Allah jika tiada halangan, saya akan buat pembedahan tulang belakang pada penghujung Disember nanti selepas pulang daripada umrah,” katanya.

 

Sumber: Kosmo