YDP Agong Isytihar Darurat Sebagai Langkah Bendung Gejala COVID-19

ydp agong isytihar darurat sebagai langkah bendung gejala covid-19

Astro Awani telah melaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara. Langkah ini diambil untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Selain itu, Seri Paduka Baginda juga memperkenankan tempoh darurat sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkenan darurat oleh YDP Agong itu selepas mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

"Ianya juga berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut.

"Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

"Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal," katanya.

Sumber: Astro Awani