Wanita Ditipu Urusan Jual Beli Face Mask, Rugi RM24,000

wanita ditipu urusan jual beli face mask, rugi rm24,000

Seorang jurujual wanita dari Kuantan telah mengalami kerugian RM24,000 apabila ditipu dalam urusan jual beli penutup hidung dan mulut.

 Berdasarkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, kejadian berlaku apabila mangsa melihat iklan penjualan penutup hidung dan mulut dalam sebuah kumpulan Whatsapp pada 24 Mac lalu.

Kemudian, wanita berusia 31 tahun itu telah membuat pesana sebanyak 400 kotak dengan harga RM24,000.

"Pada hari yang sama mangsa membuat bayaran sebelum suspek memaklumkan barangan itu akan dihantar menerusi perkhidmatan kurier yang mengambil masa selama tiga hari, untuk tiba.

"Bagaimanapun, mangsa mendakwa masih tidak menerima barangan itu sehingga semalam. Suspek juga memberi pelbagai alasan menyebabkan mangsa akhirnya marah dan membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Selepas itu, wanita berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading. Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sekiranya didapati bersalah, pesalah boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta didenda.

Sumber: Astro Awani