Majlis Anugerah Sukan Negara 2019/2020 telah berlangsung dengan meriah malam tadi.
Sepatutnya majlis anugerah ni diadakan setiap tahun, tapi kali ini yang istimewanya, ia menggabungkan edisi 2019 dan 2020 yang tertangguh sebelum ni akibat Covid-19.
Lebih manis, majlis turut dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan.
Pada majlis berprestij ni, Datuk Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan!
Ini kali ke-4 The Pocket Rocketman menang selepas 2009, 2010 dan 2018.
Datuk Azizulhasni kini dah sebaris dengan legenda, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei yang dinobatkan sebagai Olahragawan negara sebanyak 4 kali.
Power betullll!
Memang selayaknya Azizulhasni menang sebab banyak sangat pencapaian yang membanggakan berjaya diraih sepanjang 2019 dan 2020.
Antaranya memenangi emas dalam acara pecut pada Kejohanan Basikal Trek Asia di Indonesia 2019 dan berjaya pertahankan kejuaraannya bagi edisi 2020 di Korea Selatan.
Dalam saingan Piala Dunia Berbasikal Trek di New Zealand 2019, Azizulhasni raih emas bagi acara keirin sekaligus tewaskan juara dunia!
Tak kurang hebatnya atlet wushu wanita negara, Tan Cheong Min yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.
Ini kali pertama atlet wushu raih gelaran Olahragawati negara.
Cheong Min cemerlang dengan memenangi emas dalam acara nandao pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di China dan turut bawa pulang perak bagi acara nanquan.
Atlet memanah para kebangsaan, S. Suresh pula dipilih sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.
Ia susulan kejayaan Suresh menjuarai acara recurve lelaki terbuka pada Kejohanan Memanah Para Dunia 2019.
Azizulhasni, Cheong Min dan Suresh masing-masing bawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan trofi.
Hebat-hebat belaka atlet Malaysia!
Diharapkan lebih banyak kejayaan bakal dicipta tahun ini dan masa akan datang demi mengharumkan nama negara di persada dunia.
.
Oleh Izzati Amir