‘Star Vs Food Malaysia’ Terbitan Astro & Discovery, Tampil Barisan Selebriti Tempatan Hebat Memasak Bersama Cef Terkenal

Astro dan Discovery Networks tampil dengan rancangan realiti masakan baru, Star Vs Food Malaysia, yang dibintangi barisan selebriti hebat Malaysia bersama gandingan cef-cef terkenal.

‘star vs food malaysia’ terbitan astro & discovery, tampil barisan selebriti tempatan hebat memasak bersama cef terkenal

Star Vs Food Malaysia yang mengikuti format asal Discovery, ‘Star vs Food’, akan ditayangkan buat julung kalinya bermula 16 April ini di PRIMEtime (Saluran 704).

“Kami teruja meneruskan penerbitan bersama dengan Discovery dalam mempersembahkan tayangan perdana Star Vs Food Malaysia. Sebagai penerusan pelaburan kami untuk mengembangkan senarai format kandungan tempatan yang relevan untuk penonton-penonton, kami juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan lebih ramai bakat tempatan dan pasukan produksi tempatan termasuk Creative Stew, untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi hiburan tempatan yang terkemuka,” kata Sharmin Parameswaran, Naib Presiden, Perniagaan Antarabangsa, Astro.

“Menerusi penerbitan bersama dengan Discovery sebelum ini, untuk rancangan berkebun, Green Crashers dan siri ulasan makanan tempatan, BEST.EVER., keduanya mendapat sambutan yang baik dan jumlah tonton yang menggalakkan. Kami berharap pelanggan juga akan menikmati bakat, jenaka dan kerja berpasukan antara cef dan selebriti dalam Star Vs Food Malaysia,” tambah beliau.

Star vs Food bakal bersiaran sebanyak 10 episod dan akan mengikuti perjalanan para selebriti yang meneroka dan mempelajari resipi daripada cef serta penyediaan makanan dengan cara yang mudah dan menarik.

Ia menampilkan selebriti tempatan popular yang dipasangkan bersama cef selebriti terkenal: Alif Satar dan Datuk Aznil Haji Nawawi; Bront Palarae dan Dato’ Cef Ismail; Sherry Alhadad dan Cef Adu Amran; Alicia Amin dan Cef Florence Tan; Che Puan Juliana Evans dan Cef Najib Hamid; Hisyam Hamid dan Dato’ Cef Fazley Yaakob; Datin Lisa Surihani dan Cef Melba Nunis; Daiyan Trisha dan Cef Fadzly Che Omar; Thanuja Ananthan dan Cef Yogi; serta Joanne Kam dan Cef Nazri Jameson.

Orang ramai boleh menonton tayangan perdana episod-episod Star Vs Food Malaysia pada setiap Sabtu dan Ahad, jam 12 tengahari di PRIMEtime (Saluran 704) selain strim di Astro GO dan On Demand.