Rindukan Anak Cucu, Ingin Beribadat, Antara Sebab Warga Emas Ingin Segera Divaksinasi

Seorang warga emas bernama Leman Jamal, 73, bersyukur kerana dia akhirnya menerima suntikan vaksin dos pertama vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Dewan Semai Budi, FELDA Kepis baru-baru ini.

rindukan anak cucu, ingin beribadat, antara sebab warga emas ingin segera divaksinasi

Kongsi bapa kepada tujuh orang anak itu, dia berasa terdorong untuk segera mendapatkan suntikan vaksin kerana dirinya yang terlalu rindukan sang anak dan cucu yang berada jauh di perantauan serta berhasrat agar kehidupan dapat kembali ke sedia kala dengan adanya ramai rakyat Malaysia yang turut berbuat sedemikian.

Tambah Leman, dia sudah lama ternanti-nanti saat untuk mendapatkan suntikan vaksin dos. Dia malahan pernah berasa cemburu terhadap isterinya yang sudah terlebih dahulu menerima suntikan tersebut di sebuah klinik kesihatan pada bulan lalu.

Luahnya lagi, di usianya yang semakin senja, dia hanya menghabiskan sisa hidupnya bersama keluarga selain ingin kembali beribadat di masjid.

Bagaimanapun, dia berasa terkilan kerana pandemik COVID-19 yang melanda dunia menghalangi dia daripada menunaikan hasratnya.

Anak-anaknya yang tinggal di serata Malaysia tidak dapat pulang kerana harus akur dengan perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan.

“Yang paling hampir sekali duduk di Seremban, sudah berapa lama tak dapat jumpa...Sebelum ini, setiap minggu mereka balik, dapat jumpa setiap minggu, rasa rindulah pada mereka, nak berjumpa balik.

“Teringin sangat nak berkumpul ramai-ramai seperti dulu, teringin hendak peluk dan cium anak serta cucu yang kini semuanya jauh,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan rasa syukurnya setelah layak mendapatkan suntikan dos pertama vaksin di PPV bergerak yang diadakan di sekitar kawasan kediamannya.

“Saya tidak dapat tidur lena kerana terlalu teruja untuk mendapatkan suntikan vaksin sebelum ini. Alhamdulillah syukur sangat dah dapat vaksin.”

Leman merupakan antara 200 penduduk FELDA Kepis yang telah menerima suntikan vaksin di PPV bergerak. Secara keseluruhannya, seramai 1,000 penduduk dijangka akan menerima suntikan pada program yang berlangsung selama lima hari hingga 18 Jun ini.

 

Sumber: [1]