Pohon Kemaafan Intan, Izreen Azminda Mahu Buka Buku Baru

Setelah sekian lama dihambat kontroversi berkenaan rumah tangganya, pelakon Izreen Azminda, 36, berhasrat untuk membuka buku baru dan melupakan segala sengketa yang pernah terjadi antaranya dengan bekas madu, Intan Liana Saleh.

pohon kemaafan intan, izreen azminda mahu buka buku baru

Sehubungan dengan itu, baru-baru ini, Izreen tidak segan untuk menjadi yang pertama dalam memohon kemaafan ketika dipertemukan dengan Intan dalam satu rancangan terbitan televisyen tempatan baru-baru ini.

Kongsi Izreen kepada satu akhbar tempatan, sepanjang pertemuan mereka itu, dia menghulur tangan memohon kemaafan sebanyak tiga kali terhadap Intan.

“Ketika Intan tiba, saya menegurnya terlebih dahulu. Sebelum naik pentas memulakan rakaman, saya minta maaf buat kali pertama.

“Kali kedua saya minta maaf ketika rakaman berlangsung, manakala sebelum pulang, saya sekali lagi minta maaf padanya. Sebelum itu, kami sempat bergambar bersama.

“Jadi, saya berharap semua itu baik-baik sahaja kerana saya sudah pun meminta maaf. Walaupun ungkapan maaf itu ringkas, tetapi jujurnya, ia ikhlas daripada hati saya. Selebihnya terpulanglah pada Intan, sama ada mahu memaafkan saya atau sebaliknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Izreen turut menyifatkan pertemuan yang terjadi itu sebagai suatu rahmat. Manakan tidak, ia merupakan kali pertama kedua-dua mereka bersemuka sejak kontroversi rumah tangga yang melanda pada empat tahun lalu.

Katanya, “Bagi saya, ia satu rahmat apabila Intan sudi dan bersetuju datang. Saya cakap pada diri, doa saya dimakbulkan Allah. Kiranya, ini adalah pertemuan pertama kami selepas empat tahun.”

Selain itu, pelakon yang kini hamil empat bulan itu juga berharap agar orang ramai tidak memanjangkan lagi kisah kontroversi berkenaan mereka itu.

Luahnya, dia ingin membuka bahtera baru bersama Ude dan empat cahaya matanya, termasuk dua anak tirinya.

 

Sumber: [1]