Perdana Menteri Merayu Agar Rakyat Terus Duduk Di Rumah Supaya Jangkitan COVID-19 Dapat Dihapuskan

perdana menteri merayu agar rakyat terus duduk di rumah supaya jangkitan covid-19 dapat dihapuskan

Sebentar tadi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan satu sidang media khas. Dalam sidang media tersebut, beliau telah memaklumkan jumlah terkini kes positif COVID-19. Sehingga malam ini, 117 kes baharu telah dilaporkan dan menjadikan 790 kes secara keseluruhan.

Selain itu, Perdana Menteri berkali-kali merayu agar seluruh rakyat Malaysia patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang telah berkuatkuasa semalam hinggalah 31 Mac ini.

“Terus berada di rumah, lindungi keluarga anda dan anda” Katanya dalam sidang media tersebut.

Bukan itu sahaja, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyeru agar sesiapa yang berniat untuk balik kampung membatalkan niat tersebut buat sementara waktu. Kata beliau, niat kerajaan mengenakan perintah tersebut adalah untuk memutuskan rantaian jangkitan.

Perdana Menteri juga menyatakan seandainya masalah ini masih belum diselesaikan dalam tempoh dua minggu ini, kemungkinan tempoh ini akan dilanjutkan. Maka, beliau menyeru agar orang ramai untuk terus memberi kerjasama dengan mematuhi segala arahan daripada pihak kerajaan.

Perdana Menteri juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk terus menjaga kebersihan seboleh yang mungkin.

“Basuh tangan dengan sabun atau sanitizer, mandi dengan lebih kerap agar bersih.” Pesan beliau.