Padah Merempit Ketika Orang Tarawih, Remaja Terpaksa Tolak Motosikal

Akibat ingin melepas ‘gian’ di jalan raya, 10 mat rempit menerima ditangkap pihak polis menerusi Ops Samseng Jalanan di Kemaman, Terengganu.

padah merempit ketika orang tarawih, remaja terpaksa tolak motosikal

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sekitar Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran Kampung Geliga iaitu ketika jemaah sedang melakukan solat Tarawih.

Padahnya, mereka terpaksa menolak motosikal lebih kurang lima kilometer menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman setelah ditahan pihak polis sebelum disita kenderaan masing-masing.

Difahamkan mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 20 tahun dan ketika ditahan, mereka sedang asyik berlumba.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, operasi tersebut dilaksanakan setelah pihak mereka menerima aduan daripada orang awam berkenaan aktiviti yang tidak berfaedah itu.

Tambahnya lagi, aktiviti tersebut juga dilakukan ketika jemaah masjid sedang menunaikan solat Tarawih sekali gus menggangu ketenteraman orang awam untuk melakukan ibadah.

Lanjutnya, pihak beliau telah mengadakan intipan di sepanjang laluan terbabit serta mendapati kumpulan ‘mat rempit’ itu jelas melanggar peraturan jalan raya. Sekiranya tidak dibendung, aktiviti tersebut mampu mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Hasil operasi yang berlangsung selama lima jam dan tamat pada jam 1 pagi itu, sebanyak 52 saman telah dikeluarkan akibat pelbagai kesalahan yang dilakukan pengguna jalan.

Selain itu, pihak polis turut menyita sembilan buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk aktiviti lumba haram itu.

 

Sumber: [1]