Nabila Huda Minta Golongan Selebriti Berhenti Sakitkan Hati Masyarakat

Bergelar seorang selebriti atau influencer itu bukanlah satu perkara yang mudah.

nabila huda minta golongan selebriti berhenti sakitkan hati masyarakat

Manakan tidak, tersilap satu langkah, pasti ada sahaja pihak yang bakal mempersoalkan tindak-tanduk tersebut sehingga ia hangat diperkatakan di serata media sosial.

Seiring dengan itu, pelakon Nabila Huda, meluahkan kekecewaan yang melanda dirinya berikutan sikap sesetengah selebriti mahupun influencer yang gagal menunjukkan teladan baik terhadap masyarakat.

“Cukuplah menunjuk-nunjuk perkara-perkara yang menyakiti hati orang lain, perkara-perkara yang terlalu riak, kawal media sosial anda.

“Tidak perlu nak berkongsi perkara-perkara yang merepek-repek, semua perkara yang anda buat semuanya nak kongsi di media sosial yang menyebabkan orang ramai lebih membenci.
“Ini bukan masanya.

“Henti buat segala perkara yang membuatkan orang ramai membenci kita, menilai kita, padahal kita semua melalui perkara yang sama (COVID-19),” ujarnya menerusi satu temu bersama Astro AWANI.

Tambah Nabila yang baru sahaja selesai menjalankan kuarantin kendiri kerana positif COVID-19 baru-baru ini, dia berharap agar golongan selebriti dan influencer, tanpa mengira jumlah pengikut, dapat memanfaatkan lagi pengaruh mereka dengan berkongsi mengenai kesedaran dan perkara positif kepada masyarakat.

“Kepada para selebriti atau influencer, mula gunakan Instagram anda, tidak kira pengikut anda ramai atau tidak, kongsikan kesedaran berkaitan COVID-19 ini serta apa yang wajar dilakukan.

“Tiba masanya untuk kita gunakan platform media sosial ke arah yang lebih baik dan untuk orang menyayangi kita, dan orang akan hormat kita disebabkan kejujuran dan keperibadian kita.

“Saya harap ini akan membantu semua, kerana apa yang saya katakan ini adalah dari hati saya, pandangan saya,” katanya.

Bagaimanapun Nabila pada masa yang sama memohon maaf terhadap rakan-rakan selebriti andai ada yang terasa hati dengan tegurannya itu.

 

Sumber: [1]