Ketahui Istana Terbiar Berusia Ratusan Tahun Ini Yang Terletak Di Kuala Terengganu

Barangkali, pernahkah anda terdengar mengenai kewujudan istana di Kampung Tanjung Sabtu, Kuala Terengganu yang berusia melebihi 100 tahun ini?

ketahui istana terbiar berusia ratusan tahun ini yang terletak kuala terengganu

Dikenali sebagai Pura Tanjung Sabtu, yang mana perkataan “pura” membawa maksud “istana” dalam bahasa Sanskrit.

Pada zaman kegemilangannya, istana ini merupakan gabungan tujuh rumah kayu asal tempatan.

Memetik laporan agensi berita tempatan, sejak pemergian penjaga istana tersebut, iaitu Tengku Ismail Tengku Su pada 2011, istana yang didirikan sekitar 30 tahun itu ditinggalkan dan dibiarkan reput.

Terletak sekitar 14 kilometer dari Kuala Terengganu dengan tanah seluas 5.6 hektar berhampiran Sungai Nerus yang dimiliki keluarga diraja, istana yang turut dikenali sebagai Tujuh Rumah Putera ini juga dahulunya terkenal dalam kalangan pelancong, orang kenamaan dan bangsawan, baik dari dalam mahupun luar Malaysia.

Dipercayai juga bahawa di sebalik rumah-rumah tradisional terbina di sini yang mana antaranya termasuklah Rumah Seberang Baroh, Rumah Rhu Rendang, Rumah Kuala Ibai dan Rumah Atas Tol, terdapatnya sebuah rumah yang merupakan istana lama.

Lebih mengejutkan, kesemua bangunan tradisional itu difahamkan berusia antara 100 hingga 200 tahun.

ketahui istana terbiar berusia ratusan tahun ini yang terletak kuala terengganu

“Mereka diberi nama oleh Tengku Ismail mengikut tempat asal rumah itu diambil atau dibelinya. Bahagian yang menarik adalah mereka dibina tanpa paku, sebaliknya menggunakan teknik tukang kayu,” ujar Md Fauzi Mustaffa, ketua majlis pengurusan masyarakat kampung Tanjung Sabtu (MPKK).

Ketika menerima kunjungan daripada media terbabit, Md Fauzi juga sempat menunjukkan penenun songket yang digunakan di salah satu daripada tujuh rumah tersebut.

Difahamkan dahulunya, Allahyarham Tengku Ismail pernah menjalankan perusahaan songket di salah sebuah rumah yang terletak di kawasan istana itu dan menerima permintaan tinggi dari dalam dan luar negara.

Namun, setelah mangkatnya Allahyarham, yang turut dikenali sebagai ‘Putera Songket’, Pura Tanjung Sabtu ditinggalkan menjadi tempat terbiar dan tidak terurus sehingga bertukar usang.

Ceritanya lagi, terdapat satu kawasan yang digelar sebagai kawasan mistik berdekatan Tanjung Pura Sabtu.

ketahui istana terbiar berusia ratusan tahun ini yang terletak kuala terengganu

Terangnya, “Berdekatan dengan kawasan ini ada satu lubuk yang dikenali sebagai ‘Lubuk Aji’, orang-orang dahulu percaya lubuk tersebut ada ‘penunggu’ dan Pura Tanjung Sabtu turut terkena tempiasnya apabila ramai yang mengaitkannya dengan perkara mistik.

“Namun belum pernah lagi penduduk kampung mengalami sebarang fenomena aneh,” katanya.

Biarpun begitu, Md Fauzi meluahkan kerisauannya terhadap keadaan rumah tersebut yang kini semakin usang dan ada juga bahagian rumah tersebut yang dicuri misalnya tangga.

“Kawasan ini berdekatan dengan sungai, jadi sesiapa sahaja boleh datang sama ada melalui jalan darat atau sungai untuk mengambil barang-barang seperti pasu bunga dan perabot. Kita (penduduk kampung) pun tidak tahu siapa yang keluar masuk ke kawasan ini.”

Demikian itu, dia berharap agar terdapat pihak yang sudi mengambil alih kawasan tersebut demi mengembalikan zaman kegemilangan Pura Tanjung Sabtu.

“Jika tiada sesiapa yang menjaga tempat ini, warisan seni bina Melayu ini akan terbiar begitu sahaja.

“Hendak membaik pulih tempat ini mungkin memerlukan kos yang tinggi tetapi saya percaya sekiranya ia dibangunkan semula atau dijadikan seperti muzium, ia akan memberikan pulangan yang lumayan,” ujarnya.

 

Sumber: [1]