Frontliners Sebak Sewaktu Live Dan Merayu Agar Rakyat Malaysia Terus Berada Di Dalam Rumah

Baru-baru ini Astro Awani telah menemubual petugas barisan hadapan di Makmal Diagnostik Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

Ketika diminta untuk memberi nasihat kepada rakyat Malaysia, salah seorang petugas yang diberi tanggungjawab untuk bersiaran secara langsung, Noor Hamiza Gulam, beliau terus berasa sebak dan menitiskan air mata.

“Duduk di rumah, tolong ikut arahan kerajaan. Jangan keluar… penjarakan sosial itu sangat penting sebab itulah kita terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Kami berkorban jiwa dan masa untuk keluarga kami demi anda semua. Jadi anda semua tolonglah kami, kita jaga kita, duduk di rumah, dan kita lawan COVID-19."

Begitulah antara luahan beliau mewakili rakan-rakan  setugas sewaktu tampil secara langsung untuk berita AWANI 7:45.

Selain itu, beliau juga turut sebak tatkala menceritakan nasib beliau dan rakan-rakannya yang terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga. Ada dalam kalangan mereka yang sudah sebulan tidak bersua muka dengan anak-anak dan ahli keluarga.

Jadi, kepada rakyat Malaysia teruslah berada di dalam rumah. Hanya kita sahaja yang dapat membantu kita semua.

Sumber: Astro Awani