Fenomena Gerhana Bulan Penuh Penuhi Langit Malaysia

Biarpun kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tidak dinafikan ramai antara kita, terutamanya mereka yang meminati unsur astronomi tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena alam yang jarang berlaku iaitu Super Flower Blood Moon yang berlaku pada malam tadi.

fenomena gerhana bulan penuh penuhi langit malaysia

Fenomena tersebut disaksikan orang ramai secara langsung menerusi laman YouTube dan Facebook milik Planetarium Negara berikutan kemudahan teleskop di Planetarium Negara tidak dibuka susulan PKP.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Pencerapan Planet Planetarium Negara Mohd Zamri Shah Mastor, kali terakhir kejadian bulan purnama sebegitu terjadi adalah sekitar 18 tahun lepas iaitu pada 2003.

Katanya, gerhana bulan yang digelar Super Flower Blood Moon itu adalah bersempena tiga fenomena yang berlaku dalam satu masa yang menyaksikan Super Moon susulan bulan yang kelihatan lebih besar sedikit iaitu kira-kira 7% berbanding saiz bulan purnama lain kerana berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi.

Tambahnya lagi, fenomena kedua ialah Flower Moon kerana ia terjadi pada musim bunga dan Blood Moon pula adalah kerana warna bulan bertukar kemerah-merahan persis bulan berdarah.

“Fenomena gerhana bulan penuh ini menyebabkan bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 15 minit pada fasa gerhana penuh... Blood Moon hanya berlaku pada 7.11 malam hingga 7.26 malam.

“Bagaimanapun, Super Moon dan Flower Moon pula dapat dilihat sepanjang malam sehingga Subuh,” ujarnya.

Dalam pada itu, pencerapan gerhana bulan secara langsung menyaksikan ‘pembentukan’ fenomena yang berlaku bermula 4.47 petang hingga 9.49 malam itu dibuat di Tanjung Labian, Lahad Datu, Sabah dan Balai Cerap Planetarium Negara.

Sementara penduduk Sabah dan Sarawak dapat menyaksikan fenomena yang menakjubkan itu ketika ia mencapai fasa gerhana separa bermula sekitar 7 malam semalam, kebanyakan penduduk di Semenanjung pula, terutamanya Kuala Lumpur hanya dapat menyaksikan ia bermula 7.15 malam.

Bagaimanapun, hujan lebat dan awan tebal di Kuala Lumpur menyebabkan fenomena ‘bulan berdarah’ yang beredar pada 7.26 malam itu tidak dapat dilihat di langit ibu kota.

Sekadar perkongsian, fenomena gerhana ini terjadi selepas beberapa jam bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi yang berlaku setelah matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.

 

Sumber: [1]