Faizal Tahir Bersatu Kembali Dengan Mirwana

Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir kembali bersatu dengan kumpulan nasyid yang pernah dianggotainya dahulu, Mirwana.

faizal tahir bersatu kembali dengan mirwana

Mengakui bahawa dirinya tidak akan berada di tahap ini andai dirinya tidak pernah bergelar sebahagian daripada anggota Mirwana, ujar Faizal, “Tanpa Mirwana tiadalah Faizal Tahir. Saya cuma ingin mengembalikan nostalgia dan ini adalah satu penghargaan buat mereka.”

Dilancarkan pada 12 April 2021, “Aku Tanpa CintaMu 2021” merupakan rendisi terbaru lagu kumpulan terbabit bersama Faizal.

Terdahulu, Mirwana pernah muncul dengan lagu “Aku Tanpa CintaMu” bersama penyanyi Jay Jay.

Lagu tersebut berjaya mengangkat nama kumpulan nasyid tersebut hingga berjaya melayakkan mereka memenangi anugerah Lagu Nasyid Pilihan Anugerah Era pada 2005.

Terang Faizal, kemunculan semula bersama Mirwana pada waktu ini merupakan waktu yang terbaik untuk mereka berbuat sedemikian setelah sekian lama membawa haluan masing-masing.

Turut menyertai projek kali ini ialah tiga anggota baru Mirwana iaitu Naim, Ikram dan Faiz.

Ujarnya, “Saya tahu ramai yang bertanya dan ingin kami bekerjasama semula, saya dan Mirwana sebenarnya sudah berbincang dari beberapa tahun lepas lagi, cuma tunggu masa yang sesuai. Saya rasa ini adalah waktu yang baik untuk mengeluarkan lagu ini.”

Dalam pada itu, salah seorang anggota Mirwana, Hafiz turut mengulas mengenai pengunduran Faizal dari kumpulan nasyid tersebut pada suatu ketika dahulu.

“Mengenai pengunduran Faizal 16 tahun yang lalu, itu adalah satu keputusan yang tepat. Jelas ketika itu, Mirwana mempunyai hala tuju muzik, cara dan matlamat yang sedikit berbeza.

“Alhamdulillah nampaknya impian dan hasrat Faizal dengan muzik yang dibawa lebih berhasil dan berjaya apabila diteruskan secara solo dan itu sesuatu yang sukar untuk kami capai bersama,” ujarnya.

Pada 2005, Faizal Tahir meninggalkan kumpulan Mirwana yang pada asalnya dianggotai Hafiz, Izzat, Akmal, Along dan juga dirinya.

Pada 2006, dia menyertai sebuah program realiti nyanyian anjuran salah satu stesen televisyen tempatan yang berjaya melonjakkan namanya sebagai penyanyi solo sehingga hari ini.

Sementara itu, Mirwana pula kekal meneruskan perjalanan mereka sebagai sebuah kumpulan nasyid dengan penyertaan beberapa anggota baharu.

Sejak dilancarkan pada 12 April lalu, video muzik “Aku Tanpa CintaMu 2021” telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 100, 000 tontonan di YouTube kurang dari 24 jam.

 

Sumber: [1]