Elite Bakal Kembali Dengan Imej Islamik

Kumpulan penyanyi wanita popular 90-an, Elite bakal membuat kemunculan kembali sempena ulang tahun ke-25 mereka berkecimpung dalam industri muzik Malaysia.

elite bakal kembali dengan imej islamik

Ibarat hadiah yang diberi kepada peminat yang setia menunggu karya terbaru mereka, Elite akan mengeluarkan single terbaru dengan barisan ahli asal iaitu Linda, Azza, Abby, Shasha dan Wanita.

Ujar salah seorang ahli kumpulan Elite, Azza, kepada satu media lokal, “Sebelum ini, memang ada ura-ura untuk menggabungkan kami, tetapi banyak kali tertunda. Lagipun, kami mahu semua anggota asal Elite ada bersama. Ini adalah gabungan pertama selepas 20 tahun.”

Lanjutnya lagi, perancangan untuk melakukan kemunculan kembali menerusi barisan ahli asal Elite itu mula dizahirkan apabila Linda bertemu dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim.

Jelasnya, “Usaha ini digerakkan oleh Linda yang kebetulan berjumpa dengan Datuk Norman Abdul Halim. Saya bersyukur semua urusan berjalan lancar dan dipermudahkan.”

Berbeza dengan lagu-lagu hits mereka sebelum ini yang kebanyakannya beriramakan pop misalnya “Tamparan Wanita” dan “Trauma”, single kali ini yang berjudul “Alhamdulillah” bakal memperlihatkan sisi lain Elite kerana genrenya yang berunsurkan Islamik.

Kongsi Linda, mereka bersetuju untuk menerima lagu yang bergenre Islamik itu kerana sesuai dengan penampilan terkini kumpulan tersebut yang mana kebanyakan mereka telah berhijrah kepada imej berhijab selain berhasrat untuk memberi hiburan yang mempunyai mesej bermakna kepada peminat.

“Kami bersetuju untuk muncul dengan single bergenra Islamik dan mempunyai mesej yang baik dalam lagu.

“Ia juga bersesuaian dengan ketibaan Ramadan tidak lama lagi. Kami berharap dapat menyebarkan perkara positif kepada peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula Elite,” ujarnya.

Dalam pada itu, biarpun karya kali ini bakal melihat kumpulan tersebut mencuba lagu yang berteraskan kerohanian, namun ia sedikit pun tidak akan memudarkan identiti Elite yang sudah cukup sinonim dengan penggunaan rap dalam setiap lagu mereka sebelum ini.

Jelas Watie, “Identiti setiap lagu Elite adalah rap, jadi dalam single “Alhamdulillah” ini kami perlu menyanyi rap.

“Tidak dapat dinafikan, keadaan agak mencabar apabila sudah lama tidak menyanyi dan merakamkan lagu. Tetapi, kami tidak mengambil masa yang lama untuk merakamkan single ini. Saya harap peminat dapat menerima single “Alhamdulillah”.”

Single “Alhamdulillah” boleh didengarkan mulai 19 April ini di semua pelantar muzik digital.

 

Sumber: [1]