Pernah menghasilkan single berjudul “Memori Kismis” bersama band ternama dari Amerika Syarikat, iaitu Avenged Sevenfold dan penyanyi Jason Derulo, itulah perkara yang tertulis di Wikipedia Jaafar Onn.
Halaman milik artis veteran tanah air itu dipercayai telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam catatan tersebut, Jaafar Onn dikatakan pernah berkolaborasi bersama Avenged Sevenfold dan Jason Derulo menerusi lagu berjudul “Memori Kismis”. Selain itu, catatan yang tidak bertanggungjawab itu juga telah menyatakan bahawa Jaafar turut pernah berkolaborasi bersama artis rap antarabangsa, Snoop Dogg selain merupakan bekas penyanyi XPDC.
Menerusi semakan yang dijalankan di halaman milik Jaafar Onn, suntingan dengan maklumat palsu itu dikesan di halaman tersebut sejak 27 Disember 2020. Kali terakhir ia disunting adalah pada 18 Mei 2021.
Difahamkan antara tempoh tersebut, sebanyak 24 suntingan telah dilakukan sekali gus dilihat sebagai tindakan yang cuba untuk memburukkan nama Jaafar Onn sebagai artis yang telah lama bergiat dalam industri hiburan tanah air.
Wikipedia merupakan satu laman ensiklopedia dalam talian percuma yang dihasilkan dan disunting sukarelawan dari serata dunia.
Selain merupakan salah satu laman web yang sering menjadi panduan pencari maklumat, ia juga terbuka kepada sesiapa yang ingin melakukan suntingan mahupun sebarang penambahan maklumat.
Sumber: [1]