Penyanyi Iman Troye tampil memohon maaf secara terbuka susulan status berbaur sindiran mengenai angka kes positif COVID-19 pada Ahad lalu menerima kecaman daripada netizen.
Menerusi satu status yang dimuat naik di Twitter pada Ahad lalu, pelantun lagu “Teman” itu dikecam teruk oleh netizen gara-gara menulis statistik angka jangkitan harian COVID-19 dengan perkataan “Happy 6.9k” yang disifatkan seolah-olahnya dia berbangga dengan angka tersebut.
Bagaimanapun status tersebut telah dipadam dan Iman mengambil keputusan untuk menyahaktifkan akaun Twitternya.
Menerusi entri yang dimuat naik di Instagram miliknya, luah Iman, dia tidak mempunyai sebarang niat untuk menyakiti hati mana-mana pihak dan sedar terhadap kesilapan yang dilakukannya itu.
“Saya tidak terdetik untuk melukakan sesiapa terutama kepada petugas barisan hadapan dan individu yang terkesan kerana COVID-19.
“Saya ingin mohon maaf, Insya-Allah saya akan belajar daripada kesilapan ini.
“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku,” kata Iman menerusi satu kemas kini di Instagram pada Selalu lalu.
Dalam pada itu, penyanyi yang berusia 18 tahun itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang tampil memberi teguran dan kepadanya serta berjanji untuk cuba menjadi lebih baik pada masa akan datang.
Sumber: [1]