Siapa hendak sangka bahawa di sebalik berita memilukan yang mengesahkan dirinya menghidap COVID-19 dan memerlukannya berpisah sementara dengan keluarga, lelaki ini menemui kegembiraan yang tidak disangka-sangka di pusat kuarantin apabila dia secara tidak sengajanya, bertemu semula dengan rakan baiknya yang hilang tanpa khabar hampir 23 tahun lalu.
Seolah-olah sudah disusun takdir, pertemuan ‘jejak kasih’ itu berlaku apabila kedua-dua mereka menjalani rawatan di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Berkongsi mengenai momen itu, Norazman Ariffin, 49, yang mula ditempatkan di PKRC MITC pada Sabtu lalu berkata, dia hanya menyedari bahawa lelaki tersebut ialah rakan baiknya selepas mereka bersembang ketika makan malam di pusat kuarantin terbabit.
Tambahnya, mereka mula mengenali antara satu sama lain ketika Ariffin bekerja di sebuah syarikat yang terletak di Batu Berendam sekitar 1995.
“Saya mula dihantar ke PKRC ini pada sebelah siang Sabtu lalu, manakala rakan saya Shikh Muhammad Makhdad Harun pula dimasukkan ke sini pada sebelah malam.
“Seperti biasalah apabila kita berada di tempat baharu, saya cuba berkenalan dengan semua pesakit sehingga saya makan dan duduk di hadapan dia (rakan).
“Mula-mula memang tak perasan sebab kami berdua pakai pelitup muka sebelum tiba-tiba kedua-dua kami mula rancak bertukar cerita dan menyedari sebenarnya kami pernah berkawan baik suatu ketika dahulu.”
Mengimbas kembali memori ketika awal persahabatan mereka, menurut Ariffin, hubungannya dengan rakan yang dikenali sebagai Pak Ngah itu sangat rapat sebelum kedua-dua mereka terpisah sekitar 1998 kerana masing-masing bertukar haluan dalam bidang pekerjaan dan mula membina keluarga sendiri.
“Nak jadi cerita, selepas lebih 20 tahun terpisah saya ada perasan cerita Pak Ngah di akhbar yang mana dia sering membuat kerja amal di negeri Melaka sehinggakan saya terfikir macam mana nak dapatkan nombor telefonnya.
“Tetapi tidak sangka Allah punya kuasa, saya boleh bertentang mata dengan dia dekat sini walaupun mula-mula tu tak perasan.
“Iya lah sekarang dah banyak berubah jika nak banding dengan zaman umur 20-an dahulu. Dulu berisi sekarang kurus, dulu ada gigi sekarang banyak dah kurang,” ujarnya.
Sumber: [1]