Bayi Dijangkiti COVID-19, Hanya Sempat Melihat Dunia Sejam Sebelum Kembali Menutup Mata

Seorang bayi perempuan dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19 dan menjadi antara korban termuda sejak pandemik tersebut melanda negara.

bayi dijangkiti covid-19, hanya sempat melihat dunia sejam sebelum kembali menutup mata

Lebih memilukan, ia difahamkan hanya sempat ‘melihat dunia’ selama sejam sebelum ia kembali menutup matanya buat selamanya.

Bayi berusia 24 minggu itu dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dalam keadaan yang mana ibunya, masih berada dalam tempoh kuarantin kerana positif COVID-19.

Luah bapa mangsa, Nur Firdaus Ab Rahim, 30, yang merupakan seorang penjawat awam, anak bongsu mereka itu adalah antara korban termuda sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Sebagai seorang anggota kereta peronda polis (MPV) saya selalu selesaikan masalah rakyat, kita tengok kejadian seperti ini berlaku hari-hari ini di depan mata.

“Apabila kena pada diri sendiri baharu kita tahu perasaan sebenar mangsa. Tidak kira kita polis atau doktor sekali pun COVID-19 ini tidak mengenal mangsa,” katanya kepada satu akhbar tempatan.

Lebih menyedihkan, isterinya dikhabarkan masih berada di HTAR bagi menerima rawatan, sementara lima anak mereka pula masih menjalani kuarantin di rumah.

Jenazah anaknya diuruskan dan dikebumikan sukarelawan Unit Khas Van Jenazah di Tanah Perkuburan Selat Klang di Sungai Sireh berdekatan Klang pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Bilal Unit Khas Van Jenazah, Mohd Raspapi Mohd Anuar, 29, berkongsi mengenai pengalamannya menguruskan jenazah bayi perempuan tersebut.

Jelasnya, ia merupakan jenazah termuda yang pernah diuruskan pihak mereka setakat ini.

“Kami berdoa supaya keluarganya tabah, diberi ganti yang lebih baik dan bayi tersebut dapat memberi syafaat kepada ibu bapanya,” katanya.

 

Sumber: [1]