Aktiviti Rentas Negeri Untuk Pulang Beraya Tidak Dibenarkan

aktiviti rentas negeri untuk pulang beraya tidak dibenarkan

Sekitar jam 11 pagi tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan sidang media khas. Melalui sidang media tersebut, beliau telah menyampaikan beberapa perkara penting berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Antara perkara yang disampaikan oleh Perdana Menteri adalah berkaitan aktiviti merentas negeri untuk menyambut aidilfitri kelak. Kerajaan telah menyatakan bahawa aktiviti sedemikian tidak dibenarkan sama sekali.

Bagaimanapun, kerajaan masih membenarkan aktiviti merentas negeri kepada mereka yang bekerja di antara negeri sahaja. Selain itu, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan juga tidak dibenarkan.

"Majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

"Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan," kata Tan Sri Muhyiddin dalam Perutusan Khas sempena Hari Pekerja, hari ini.

Sumber: Astro Awani