Pelakon Malaysia yang pernah tersenarai dalam 100 Wajah Tercantik Dunia, Anna Jobling, tidak menolak kemungkinan untuk menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Malaysia jika dipilih, yang bakal memberinya peluang untuk mewakili negara ke peringkat Miss Universe.
Namun, menurut Anna, pada tahap kini, beliau mahu memberi lebih fokus dalam bidang lakonan dan ini menjadikan misi untuk ke Miss Universe menjadi lebih sukar.
Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman berkata, "Saya rasa kalau dulu ditawarkan masuk Miss Universe Malaysia, saya akan terima, tapi sekarang, saya tak rasa saya akan ambil peluang itu.
"Saya memang takkan pakai apa-apa yang 'panas'. Kalau baju selesa dan sesuai untuk saya, kemungkinan saya akan sertai, tapi buat masa sekarang, saya tak rasa nak sertai pertandingan sebegitu."
Dalam pada itu, Anna juga berharap kawan baiknya, Amelia Henderson, dapat dipilih dan mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss Universe.
Sementara itu, Amelia menyuarakan keinginan untuk menyertai pertandingan ratu cantik dan mewakili Malaysia di peringkat global, Miss Universe, selepas penghapusan beberapa syarat, termasuk segmen pakaian bikini yang tidak lagi diwajibkan dan wanita yang sudah berkahwin atau bercerai juga dibenarkan untuk menyertai pertandingan itu.
Terdahulu, pada tahun 2021, Anna pernah berharap dapat menyertai pertandingan Miss Universe pada masa akan datang. Namun, undang-undang tidak membenarkan wanita Muslim untuk bertanding mewakili Malaysia ke peringkat luar negara telah membatalkan hasratnya tersebut.
Sumber: Kosmo!