Jerebu Teruk, Ini Tips Dari Kementerian Kesihatan Malaysia

Keadaan jerebu bertambah teruk dari sehari ke sehari. Banyak kawasan yang terjejas ekoran kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.

jerebu teruk, ini tips dari kkm

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan sebagaimana berikut:

1. Elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

2. Oleh itu selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

3. Banyakkan berada berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

4. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

6. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan;

7. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari).

8. Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

9. Sentiasa awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang mengidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

10. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.
 
Orang awam boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang KKM.
 
Orang ramai disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu melalui laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), klik sini.