Mungkin atas alasan tertentu, ramai yang memilih jalan singkat untuk menurunkan berat badan. Salah satu cara yang paling popular adalah dengan menyedut lemak.
Dikenali dengan terma ‘liposuction’, proses menyedut lemak ini bukanlah cara untuk menurunkan berat badan, sebaliknya ia hanyalah satu prosedur membuang lemak yang tidak dapat dikurangkan walaupun sudah melakukan senaman dan diet yang betul.
Individu yang sudah menjalani prosedur liposuction perlu memastikan tiada pengumpulan lemak berlaku selepas prosedur sedutan lemak dan perlu meneruskan amalan gaya hidup sihat seperti sebelumnya.
"Saranan kepada masyarakat di luar sana adalah memilih tempat yang sesuai serta memiliki standard keselamatan yang tinggi, iaitu mempunyai sokongan perubatan yang sesuai seperti ICU, pakar bedah serta pakar bius.
"Tidak sesuai dilakukan di bilik-bilik hotel atau tempat-tempat yang tidak mempunyai langsung sokongan perubatan. Pengamal perubatan juga tidak semua mempunyai lesen atau latihan prosedur sedutan lemak ini. Jadi, semak peramal perubatan di laman web National Specialist Register (NSR).
"Perlu ditekankan sekali lagi bahawa liposuction bukan suatu prosedur untuk mengurangkan berat badan tetapi untuk memberi shape kepada bahagian badan tertentu (body contouring)," kata Pakar Bedah Plastik, Rekonstruktif dan Estetik, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr Zairizam Zakaria.
Secara asasnya, prosedur menyedut lemak ini akan menggunakan mesin dengan kuasa vakum bagi menyedut lemak bawah kulit menggunakan tiub kecil yang dimasukkan di bawah kulit.
Risiko menyedut lemak juga bergantung kepada bilangan lemak yang disedut. Misalnya, massive liposuction iaitu lemak melebihi satu liter dan juga normal liposuction dimana ia lebih selamat dan tidak melebihi satu liter lemak di badan.
Menurutnya, pesakit boleh berhadapan dengan risiko koma dan maut jika melakukan prosedur liposuction di pusat kecantikan yang tidak mempunyai sokongan perubatan lain.
Antara risiko yang mungkin dihadapai adalah seperti jangkitan, pendarahan darah beku, kehilangan air atau darah yang banyak, seterusnya menyebabkan kematian.
Sumber: Astro AWANI