Seorang lelaki dari China sanggup membelanjakan lebih 100,000 Yuan (kira-kira RM62,823) bagi ‘mencipta’ pulau cinta untuk memikat kembali bekas kekasihnya.
Xiao Xu, 30, menukarkan tanah terbiar dekat tasik berhampiran kampungnya di Hetou, China dengan menghiaskan pokok Cherry Blossom buatan, buaian, batu sungai dan banyak lagi hingga menarik perhatian pengunjung yang datang untuk bergambar. Semuanya bagi memikat bekas kekasihnya itu.
Xiao dan bekas kekasihnya pernah menjalinkan hubungan sejak 2018 namun berpisah tahun lalu selepas beliau ambil keputusan pulang ke kampung untuk menjaga ibu bapanya.
Bekas kekasihnya yang membesar di Guangzhou pula enggan meninggalkan kehidupan di bandar, malah keluarganya juga tidak mengizinkannya untuk tinggal di luar bandar, menyebabkan mereka sepakat membawa haluan masing-masing.
Bagi memikat kembali bekas kekasihnya itu, beliau mencipta Pulau Cinta ini dengan bantuan penduduk kampungnya.
Sebaik sahaja Pulau Cinta ini selesai dibina, beliau menghantarkan beberapa gambar kepada wanita itu, namun maklum balas tidak seperti yang diharapkan.
"Terima kasih atas dedikasi dan keikhlasan kamu. Kamu akan jumpa seseorang yang lebih baik dari saya," demikian jawapan balas bekas kekasih Xiao Xu.
Meskipun misinya tidak kesampaian, beliau membiarkan Pulau Cinta itu menjadi lokasi tarikan pelancongan hingga ia tular di laman sosial.
Sumber: Mirror UK