Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW, hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini.
Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, ketika baginda Nabi Muhammad SAW sedang beribadat di Gua Hira’.
Ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.
Al-Alaq membawa maksud segumpal darah, yang mana merujuk kepada maksud dalam ayat kedua surah ini adalah manusia dijadikan Allah dari segumpal darah.
Surah Al-Alaq ini menerangkan bahawa Allah menciptakan manusia dan memuliakannya dengan mengajar membaca, menulis dan memberinya pengetahuan. Namun manusia merasakan dirinya sudah cukup serba-serbi, lalu sebab itulah dia tidak bersyukur atas nikmat yang Allah berikan itu.
Turunnya Al-Quran secara keseluruhannya bukanlah sekadar untuk dibaca semata-mata walaupun membacanya merupakan ibadah yang diberi ganjaran oleh Allah SWT, tetapi turunnya Al-Quran adalah sebagai petunjuk dan panduan untuk diikuti dan diamalkan oleh manusia agar sejahtera dunia dan juga akhirat.
Semoga kita beramal, InsyaAllah.