Siapa nak sangka, di sebalik wataknya sebagai ‘mat motor’ dalam filem hit Indonesia, ‘Dilan 1990’ yang meninggalkan impak begitu besar dalam kalangan penonton, Iqbaal Ramadhan sebenarnya ‘trauma’ terhadap kenderaan motosikal itu.
Kongsi Iqbaal, dirinya ternyata pernah berhadapan dengan kecelakaan tersebut pada 2015 sehingga meninggalkan parut di tangannya.
Pun begitu, Iqbal yang juga pernah bergelar ahli kumpulan Coboy Junior tekad melawan trauma tersebut dengan berlakon.
“Saya pernah mengalami kemalangan motosikal, ada watak yang mengharuskan saya boleh menunggang motosikal,” kata Iqbaal ketika ditemui di kawasan Menteng, Jakarta Pusat, dikutip Ahad.
Namun, perlahan-lahan dia cuba menghilangkan trauma itu melalui lakonan kerana watak yang dilakonkan olehnya perlu mempunyai keberanian untuk menunggang motosikal.
“Iqbaal yang mempunyai ketakutan. Tetapi watak ini mempunyai keberanian untuk melakukan sesuatu. Proses penyembuhan sudah pasti,” jelas pelakon berusia 22 tahun itu.
Selepas berjaya mengatasi ketakutannya untuk menunggang motosikal, dia kini berusaha menakluki ketakutannya yang lain pula.
Bintang ‘Dilan 1990’ dan ‘Dilan 1991’ itu mengaku dia punya fobia terhadap ketinggian, berikutan filem terbarunya iaitu ‘Mencuri Raden Saleh’ memerlukan dia untuk terjun dari bangunan setinggi enam tingkat.
Pada mulanya, dia teragak-agak untuk melakukan adegan tersebut, namun pengarah Angga Dwimas Sasongko cuba meyakinkannya untuk berbuat demikian.
Sumber: [1]